BERSYUKUR
Syukur seorang hamba ialah berterima kasih kepada Penciptanya dalam
bentuk lisan, hati dan perbuatan. Bersyukur dengn lisan ialah dengan
menyatakan Alhamdulillah, bersyukur dengan hati ialah perasaan
mencukupi, qanaah, dan redha dengan apa yang diterima. Bersyukur dengan
perbuatan ialah dengan beramal dengan apa yang disuruh Allah dan tidak
menentang Allah dengan mengingkariNya.
Tanda bersyukur ialah seorang itu beramal dengan apa yang disuruh
Allah dengan penuh ketaatan. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran, “Wahai keluarga Daud, bersyukur lah kamu dengan beramal.”
Sekiranya kita tidak beramal, ini menunjukkan kita tidak bersyukur
kerana tidak mematuhi syariat Islam dan tidak mematuhi apa yang disuruh
Allah. Tanda orang bersyukur ialah tidak meremeh (memperkecil-kecilkan)
pemberian Allah, tidak bermasam muka jika mendapat rezeki atau sesuatu
yang kurang dari yang diharapkan, tidak kufur ni’mat dari Allah, dan
sentiasa redha dengan pemberianNya.
Dalam beberapa ayat di dalam Al-Quran terdapat bukti dan keterangan
bahawa Allah akan memberikan ganjaran, menambahkan dan memberi kita
kurniaanNya dengan syarat kita bersyukur.
Surah Ali Imran: 145, “Dan Kami akan memberikan ganjaran untuk orang yang bersyukur.”
Surah Ibrahim: 7, “Kalau kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan kepadamu.”
Surah At-Taubah: 28, “Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dengan kurniaNya jika Ia menghendaki.”
Kalau kita sentiasa bersyukur dengan ni’mat yang diberi Allah itu,
nescaya Allah akan menambah lagi pemberian tersebut sama ada kita sedari
atau tidak. Satu amalan yang baik bagi menunjukkan kita bersyukur ialah
dengan melakukan sujud syukur.
Orang yang bersyukur juga tidak meninggalkan semua amalan fardhu yang
disuruh dan melakukan amalan-amalan sunat kerana ia cinta kepada Allah
dan cinta kepada Rasulullah.
0 komentar:
Posting Komentar